pembuka

Selamat Datang >

Masakan si manis





EKHSAN tidak kisah jika ada yang menganggap bahawa cita-citanya untuk menjadi pengurus jaminan kualiti makanan merupakan kerjaya yang kurang popular.



SI manis, Ekhsan Hafidzah Shuhaimi, 22, cekap melayan pelanggan yang datang khas dari Turki di Restoran Apprenti, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sesekali Ekhsan datang membawa makanan ke meja media. Meskipun Ekhsan kerap dipanggil oleh pelanggan dari setiap penjuru, dia tidak melatah dan senyumannya sentiasa terukir di bibir.

“Maaf ya, kalau layanan saya kurang memuaskan, saya harap anda semua berpuas hati dengan makanan Turki yang kami sediakan,” kata Ekhsan yang bertindak sebagai pelayan dan salah seorang tenaga kerja yang memasak pada Majlis Promosi Makanan Turki di UPM baru-baru ini.

Majlis itu sebenarnya merupakan salah satu keperluan kursus yang akan dinilai pada peperiksaan akhir semester Ekhsan dan 54 rakan sekuliahnya.

Ekhsan memberitahu, dia bercita-cita untuk menjadi seorang Pengurus Jaminan Kualiti Makanan di salah sebuah syarikat makanan terkemuka di Malaysia.

“Saya tahu kerjaya ini tidak popular namun saya suka bidang masakan sejak kecil,” ujarnya yang meminati tokoh masakan terkenal di dunia, Wayne Gisslen.

KOSMO!: Apakah yang menyebabkan Ekhsan memilih pengajian ini?

EKHSAN: Secara jujurnya, saya memilih jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Makanan atas pengaruh keluarga. Ayah saya dulu adalah bekas pelajar UPM yang mengambil jurusan Sains dan Teknologi Makanan.

Selepas tamat pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, saya terus terus memilih jurusan ini di UPM. Sebenarnya kerja saya bukan setakat menghidang makanan saja, bahkan seseorang pelajar perlu mahir dalam subjek Kimia dan Fizik.

Adakah Ekhsan mahir memasak dan ada pengalaman memasak dalam skala yang besar?

Dulu saya lebih banyak memerhati saja. Saya juga sering singgah ke restoran-restoran atau kedai-kedai untuk melihat perbandingan cara masakan dan seni hiasannya.

Saya pernah memasak untuk majlis hari jadi kawan saya. Kata mereka, masakan saya baik-baik saja. Terbaru, saya dijemput untuk menyediakan makanan untuk majlis meraikan para senior kami.

Adakah dengan mengambil jurusan ini akan menjadikan anda menjadi seorang chef?

Pelajar boleh memilih salah satu jurusan utama iaitu pengurusan dan servis. Saya memilih mendalami sektor servis kerana ingin terlibat dalam operasi penyediaan makanan dan minuman (F&B).

Selepas saya tamat pengajian nanti, insya-Allah saya akan bergelar pengurus jaminan kualiti (Q & A). Tanggungjawab saya meliputi pengawasan pekerja, persiapan makanan dan sanitasi, perkhidmatan pelanggan dan tugas-tugas lain.

Siapakah idola anda dalam bidang masakan dan kenapa?

Idola saya ialah Dr. Shahrim Karim. Beliau juga pensyarah saya. Dia bukan hanya mengajar bahkan membimbing kami tentang selok-belok bidang masakan. Pengalamannya merantau di seluruh dunia mendalami ilmu masakan membakar semangat saya.

Beliau juga seorang yang kreatif. Saya masih ingat pesanan beliau : ‘Kita perlu membuatkan pelanggan berpuas hati dengan masakan kita dan kita perlu membuatkan pelanggan itu datang lagi’.

Di bawah seliaan Shahrim, kami telah belajar pelbagai jenis masakan. Antaranya ialah masakan Itali, Syria, Lebanon, Turki dan banyak lagi.

Meskipun masih bergelar pelajar, anda sudah pun didedahkan kepada dunia pekerjaan yang sebenar. Apakah pengalaman yang boleh dikongsikan di sebalik tugasan itu?

Alhamdullillah, semuanya berjalan lancar. Lazimnya, kami akan membuat latihan seminggu lebih awal. Jadi, kebanyakan peristiwa yang kami lalui manis-manis saja. Antara yang boleh saya kongsi ialah sewaktu saya menjadi hos Program Memperkenalkan makanan Lebanon dan Syria.

Saya gembira kerana rakyat asal kedua-dua buah negara itu memuji masakan kami. Begitu juga pada majlis memperkenalkan makanan Turki baru-baru ini. Rata-rata yang ditemui berkata, mereka berpuas hati dengan makanan mahupun kepantasan kami melayan mereka.
SHARE

Unknown

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image

0 comments:

Post a Comment

Lu nak komen , komen ajer lah, sendiri tanggung aaa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...